Jika inginkan MUTIARA yang bekerdipan, menyelamlah ke LAUTAN DALAM

Wednesday, December 8, 2010

Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. Akhir




BERSEMADI...




KAMPUNG KEMALA...


Jika sudah pamah ditajak
Pinang raja taman di lembah
Biar huma nampak kuningan
Jika berpindah tanah dipijak
Adat bahasa ikut berubah
Agama bangsa lekangnya jangan.


Dara meraut buluh sebatang
Buat raga pengisi nangka
Sarapan lepas raja beradu
Bersama puteri dalam taman
Kasih terpahat di rantau orang
Sanak keluarga lupanya tiada
Perkara lepas biarlah berlalu
Tanah LANGKAWI mulia berzaman.


Pohon kenangan condong ke laut
Kembang bermusim harum setaman
Pandang pertama kasih berpaut
Mesra terjalin abadi berzaman

Ranting patah terbang kenari
Sudah letih turun di huma
Jangan pisah barang sehari
Kalau boleh mati bersama.



"GENERASI KE-7 MAHSURI"



Wan Aishah Wan Nawawi atau Nama Siam : Sairintra Yayee merupakan Generasi Ke-7 Mahsuri yang telah dijejaki sekitar 90an dulu...



Setakat ini sahaja dulu ye...nanti kita meneroka lagi rahsia disebalik legenda ini...

"KALAU ADA JARUM YANG PATAH,
JANGAN DISIMPAN DI DALAM HATI,
KALAU ADA FAKTA YANG SALAH,
HARAP KALIAN TOLONG PERBAIKI..."






















Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 3



PERKAHWINAN

Datang dengan sirih berlipat
Pinang gambir mengisi cerana
Gubah hantaran seri dulangan
Sudah selesai runding muafakat
lepas nikah sanding bermula
Mempelai diarak atas usungan

Colok obor memagari desa
Laksana bintang gemerlapan cahaya
Berbunyi serunai gema rebana
Kumpul pesta rang tua nak muda




*Bendera Perang...



*Senjata dan Pending milik Wan Darus


KELUAR BERPERANG, PERANTAU DARI BATU BAHARA

Carik tiada ditampung
Patah haram disambung
Lagi hitam tambah diarang
Sudah licin minyak dituang



Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 2



MAHSURI


Damar rotan berserak tabur
Padi tanaman tambah subur.

Sebarang kerja semakin menjadi...
Redah belukar kancil melintas
Turun ke laut ikan menyerah
Mula lengan bersalut emas
Rumah seruang anjung bertambah.
Jiran semakin dekat.
Kawan semakin rapat.

Muka berseri purnama mengambang
Kulitnya licin pauh dilayang
Rambut ikal mayang seludang
Buyung petani leher jinjang
Badan lampai tinggi
Betis bunting padi

Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 1





WASIAT

Kata Siti
Tanah ini sekangkang kera
buat anak-anak di hari muka
nilai seharga nyawanya
bersih seputih darahnya

Badai semalam bawa padah
air gunung mencurah limpah
membawa lumpur bersama darah
MUARA TERHALANG
PEDOMAN HILANG
JURAGAN MERINTIH
DAGANG BERKALIH

Wasiat Siti
namun bisa keris sakti
mampu mencerai badan dan nyawa
aku telah menyemai budi
mampu gamit tamu seantero dunia
tanpa bulu dan warna
budi tunggak utama

Di kala itu
RUMPUT RAMPAI PENGHIAS KOTA
DEBU PASIR DIKIRA PERMATA
-Ismail Hanapiah-

Wednesday, November 24, 2010

Halwa Telinga : Lagu Bahasa Jiwa Bangsa


Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Thursday, November 18, 2010

MENGUKIR SILAM PADA ARCA


(Puisi ini diabadikan kepada Allahyarham Sudirman Hj. Arshad)

Karya:Zuli Azwar


Kamar senimu melirik

diselimuti akwal mimpi

tak pernah sesekali lenanmu terusik

dek langit malam yang berkemilau


Sudir...

kau adalah

penghibur sejagat

penghibur milik masyarakat

penghibur dari kesepian rakyat


Dan...

engkaulah

seniman agung

mentakwilkan irama bervisi

meneguhkan citra adiwangsa


Demi meratib

mutiara kasih

kau getarkan dari tubir bibirmu

dendangan hati, berseni dan bersendi


Dikala hari derita

hayatmu menitip

pesan penuh pengharapan

"Bukan gelaran jadi ukuran

Tapi bakti yang disumbangkan"


Sudir...kau adalah bahaduri

yang telah mengukir

agam cita

pada arca tihani

Wednesday, February 24, 2010

Iktibar untuk masyarakat berbahasa dan berbudaya

Cubalah kita renung "kata-ta-kata peringatan" berikut yang diperingatkan oleh :-

Bapak Dr. Tenas Effendy
(karyawan tamu Akademi Pengajian Melayu,UM sempena Syarahan Raja Ali Haji)

"Tanda orang yang tahu diri, bercakap bahasanya sendiri, tanda yang memuliakan bangsa, kepada bahasanya ia berbangga, tanda orang yang menjaga maruah, bahasanya tidak dipandang rendah, tanda orang memegang adat, bahasa sendiri yang ia angkat, tanda orang berakal berbudi, bangga kepada bahasa sendiri, tanda orang berfikiran panjang, bahasa sendiri yang ia julang, tanda orang berhati mulia, bahasa sendiri yang ia pelihara.

Tanda orang lupakan diri, tak ingat ia bahasa sendiri. Tanda orang tidak amanah, bahasa sendiri ia pandang rendah.
Tanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri ia malu.
Tanda orang yang malang, bahasa sendiri ia membuang.

Saturday, February 20, 2010

GURINDAM BAHASA

Apabila kita sayang bahasa,
jati diri kita akan terpelihara.

Apabila terpelihara jati diri,
perkasalah bahasa seantero dunia.

Apabila bahasa kita perkasa,
bangsa kita menumpang nama.

Apa tandanya bangsa berjaya,
sayang bahasa cinta budaya.

Apabila budaya dijulang bangsa,
bahasa bangsa di mercu jaya.

Apabila bahasa tiada terbela,
bangsa mundur bencana kan mara.

Apa petanda bencana mara,
pabila bahasa sering dicerca.

Apabila bahasa sering disenda,
alamat bangsa jatuh jendela.

Apabila bangsa jatuh jendela,
bahasa lenyap bangsa pun tiada.

Apabila bahasa lenyap tiada,
lenyap alamat petunjuk bangsa.

Bagaimana bahasa menunjukkan bangsa,
jikalau dicemar, jikalau disenda.

Apabila bahasa cemar dan dusta,
itulah tanda hilang budaya.

Apabila kita cemar budaya,
jadilah kita bangsa yang hina.

Apabila bangsa kita dihina,
hilang maruah tergadai jiwa.


Nukilan:
Hasrina Baharom
Tanjung Malim,
Perak