Jika inginkan MUTIARA yang bekerdipan, menyelamlah ke LAUTAN DALAM

Wednesday, December 8, 2010

Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. Akhir




BERSEMADI...




KAMPUNG KEMALA...


Jika sudah pamah ditajak
Pinang raja taman di lembah
Biar huma nampak kuningan
Jika berpindah tanah dipijak
Adat bahasa ikut berubah
Agama bangsa lekangnya jangan.


Dara meraut buluh sebatang
Buat raga pengisi nangka
Sarapan lepas raja beradu
Bersama puteri dalam taman
Kasih terpahat di rantau orang
Sanak keluarga lupanya tiada
Perkara lepas biarlah berlalu
Tanah LANGKAWI mulia berzaman.


Pohon kenangan condong ke laut
Kembang bermusim harum setaman
Pandang pertama kasih berpaut
Mesra terjalin abadi berzaman

Ranting patah terbang kenari
Sudah letih turun di huma
Jangan pisah barang sehari
Kalau boleh mati bersama.



"GENERASI KE-7 MAHSURI"



Wan Aishah Wan Nawawi atau Nama Siam : Sairintra Yayee merupakan Generasi Ke-7 Mahsuri yang telah dijejaki sekitar 90an dulu...



Setakat ini sahaja dulu ye...nanti kita meneroka lagi rahsia disebalik legenda ini...

"KALAU ADA JARUM YANG PATAH,
JANGAN DISIMPAN DI DALAM HATI,
KALAU ADA FAKTA YANG SALAH,
HARAP KALIAN TOLONG PERBAIKI..."






















Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 3



PERKAHWINAN

Datang dengan sirih berlipat
Pinang gambir mengisi cerana
Gubah hantaran seri dulangan
Sudah selesai runding muafakat
lepas nikah sanding bermula
Mempelai diarak atas usungan

Colok obor memagari desa
Laksana bintang gemerlapan cahaya
Berbunyi serunai gema rebana
Kumpul pesta rang tua nak muda




*Bendera Perang...



*Senjata dan Pending milik Wan Darus


KELUAR BERPERANG, PERANTAU DARI BATU BAHARA

Carik tiada ditampung
Patah haram disambung
Lagi hitam tambah diarang
Sudah licin minyak dituang



Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 2



MAHSURI


Damar rotan berserak tabur
Padi tanaman tambah subur.

Sebarang kerja semakin menjadi...
Redah belukar kancil melintas
Turun ke laut ikan menyerah
Mula lengan bersalut emas
Rumah seruang anjung bertambah.
Jiran semakin dekat.
Kawan semakin rapat.

Muka berseri purnama mengambang
Kulitnya licin pauh dilayang
Rambut ikal mayang seludang
Buyung petani leher jinjang
Badan lampai tinggi
Betis bunting padi

Kuukirkan sedikit bingkisan dari Legenda MAHSURI : Bhg. 1





WASIAT

Kata Siti
Tanah ini sekangkang kera
buat anak-anak di hari muka
nilai seharga nyawanya
bersih seputih darahnya

Badai semalam bawa padah
air gunung mencurah limpah
membawa lumpur bersama darah
MUARA TERHALANG
PEDOMAN HILANG
JURAGAN MERINTIH
DAGANG BERKALIH

Wasiat Siti
namun bisa keris sakti
mampu mencerai badan dan nyawa
aku telah menyemai budi
mampu gamit tamu seantero dunia
tanpa bulu dan warna
budi tunggak utama

Di kala itu
RUMPUT RAMPAI PENGHIAS KOTA
DEBU PASIR DIKIRA PERMATA
-Ismail Hanapiah-