Jika inginkan MUTIARA yang bekerdipan, menyelamlah ke LAUTAN DALAM

Tuesday, March 31, 2009

MENELUSURI KETOKOHAN BAHASA DR. ZAITUL AZMA ZAINON HAMZAH : Pakar Kajian Semantik dan Pragmatik

Kini, bermulalah bicarawara saya mengenai seorang tokoh pilihan kali ini iaitu Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah (ZAZH). Uniknya nama beliau bukan sekadar nampak di mata tapi perjuangan sejati mengembangkan bahasa Melayu tanpa kenal rasa jemu. Semangat dan kecintaan beliau untuk mendalami bidang kebahasaan sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah merupakan usaha murni dan perlu diteladani oleh pelajar-pelajar yang menjadikan bahasa sebagai wadah perjuangan. Beliau juga antara penyelidik bahasa yang proaktif dan sentiasa peka terhadap isu-isu kebahasaan khususnya yang melibatkan kajian semantik dan pragmatik. Sepanjang mengenali beliau sebagai seorang pensyarah di FBMK, saya dapat rasakan bahawa beliau mempunyai kredibiliti yang berupaya mengangkat perjuangan beliau sebagai tokoh yang berwibawa. Bertempat di Bilik A025, Jabatan Bahasa Melayu FBMK, satu wawancara khas telah dirancang untuk menelusuri ketokohan beliau. Bertemakan "Sebutir Mutiara Bekerlipan" sewajarnya kepakaran dan ketokohan beliau terus disanjung.

Saturday, March 28, 2009

BAHASA DALAM MULTIMEDIA SEBAGAI MEDIUM KOMUNIKASI BERTEKNOLOGI

Umumnya, menggabungjalinkan elemen bahasa dalam multimedia membuka ruang komunikasi yang lebih luas bukan sahaja secara nyata malah dalam konteks maya. Saya merasakan bahasa Melayu wajar dikembangkan pengaruhnya dalam kepesatan pembangunan era digital. Secara jujur ditegaskan bahawasanya saya bukanlah pakar IT mahupun multimedia tetapi setelah mengikuti beberapa kuliah mahupun amali BBM 3410, sedikit sebanyak teori dan praktikalnya merangsang pemikiran saya untuk menggabungjalinkan bahasa khususnya bahasa Melayu dengan multimedia supaya kedua-duanya menjadi satu kesatuan yang menarik. Perlu diingatkan bahawa masyarakat bahasa Melayu perlu menukar “mindset” berteraskan tuntutan semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan mampu dipelajari oleh pengguna bahasa sejagat. Sepanjang mengikuti kuliah ini juga, banyak informasi berhubung kait dengan keperluan bahasa dan multimedia yang diajarkan oleh pensyarah kursus iaitu Dr. Normaliza Abd. Rahim. Di samping menyampaikan isi pengajaran yang berkaitan, beliau juga berusaha mendidik sahsiah kami supaya menjadi pelajar yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan mental yang tinggi untuk mendepani cabaran dalam budaya kerja pada masa akan datang. Justeru dengan meneliti kepada isu-isu bahasa masa kini, pengguna bahasa perlu memanfaatkan sepenuhnya peranan IT dan multimedia untuk menjana kemajuan bahasa terutamanya di kalangan penutur bahasa Melayu ke arah pembinaan tamadun umat yang berjaya dalam lapangan bahasannya.

KERANDA 152 : SUMPAH DARIPADA MAHASISWA


“Kepada pemimpin-pemimpin yang sedang mengutarakan teori penggunaan bahasa lain secara super liberal, kami meminta, kami menuntut dan akan kami desak supaya mereka memberi satu definisi yang tegas tentang teori super liberalnya. Kerana bagi kami daripada generasi baru yang tulen, interpretasi super liberal itu adalah seolah-olah tidak ada sekatan atau tidak ada dasar langsung dan kami menginterpretasikan super liberal itu sebagai satu teori yang bertentangan sekali dengan kehendak Perlembagaan dan Dasar Pelajaran Malaysia sebagaimana yang tercatat dalam Penyata Razak dan Rahman Talib.
“Kami juga amat menyesali sikap Tunku Perdana Menteri dalam ucapannya baru-baru ini yang menunjukkan beliau masih lagi mendewa-dewakan bahasa Inggeris, seolah-olah bahasa kebangsaan itu masih belum sanggup memainkan peranannya dalam pentadbiran dan pusat pengajian tinggi. Sedangkan kita semua sedar bahawa bahasa Melayu telah pun digunakan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perniagaan pada zaman kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15.
“Saya menegaskan bahawa, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya tidak bisa berganjak dari tanggal 1 September 1967 sebagai tanggal pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Malaysia Barat. Dan kepada mereka yang masih belum insaf, sedarilah bahawa teori super liberal dan sikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris akan kami tentang habis-habisan.”


(Dipetik daripada pidato saudara Ismail Daud, Yang Dipertua PBMUM 1966-67, pada Seminar Bahasa kebangsaan di Universiti Malaya, 29 Oktober 1966)

Thursday, March 26, 2009

KENALI DIRIKU : SATU PENGENALAN

Mohammad Jazuli bin Madenan dilahirkan pada 01 September 1986 di Hospital Umum Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di Tabika Kemas Sadong Jaya dan meneruskan persekolahan di peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Pendam, Sadong Jaya & Sekolah Kebangsaan Lubok Punggor Simunjan dari tahun 1992-1998. Setelah berjaya dalam peperiksaan UPSR, saya meneruskan persekolahan di peringkat menengah di SMK Gedong Via Serian dari tahun 1999-2003. Setelah berjaya dalam peperiksaan SPM, saya meneruskan persekolahan saya di Tingkatan 6 SMK Serian Sarawak dari tahun 2004-2005 dan berjaya mendapat keputusan CGPA 3.33 dalam STPM 2005. Berbekalkan iltizam, semangat dan matlamat menuntut ilmu, maka hasrat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi dimurnikan lagi apabila saya diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia dalam jurusan Bacelor Sastera (Bahasa & Linguistik Melayu). Minat yang mendalam serta kecintaan terhadap bidang kebahasaan khususnya Bahasa Melayu menjadikan jurusan ini pilihan utama saya. Kini, hampir genap 3 tahun pengajian, saya telah mula merasai kematangan dalam berbahasa dan berkomunikasi dengan berhemah. Dalam babak-babak akhir menamatkan pengajian Linguistik di peringkat Bacelor, satu kursus yang memainkan peranan penting memajukan serta meyebarluaskan peranan bahasa Melayu ialah Bahasa dalam Multimedia. Berpaksikan kepada keperluan masa kini, sememangnya bahasa perlu bergerak seiring dengan teknologi. Hal ini kerana teknologi selamanya alat, maka bahasalah yang menghidupkan teknologi agar ia tampak menarik dan berfungsi sebagai wahana ilmu dalam ketamadunan manusia. Marilah kita bersama-sama menggemilangkan tamadun bangsa dan negara kita kerana BAHASA adalah AIR MATA dan MARUAH KITA.