Jika inginkan MUTIARA yang bekerdipan, menyelamlah ke LAUTAN DALAM

Thursday, April 9, 2009

"KETIKA DAN KALIMAT"

Mukaddimah

Bismillahhirrahmanirrahim…


Saya buka bicara hati dengan firman Allah dalam Surah Faatir 35:28 Juzuk ke 22; “ Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar) perintah Allah dari kalangan hamba-hambanNYA hanyalah orang-orang yang berilmu” . Berdasarkan maksud ayat tersebut timbul kemusykilan iaitu dunia ini penuh dengan cerdik pandai tetapi ramai di kalangan mereka tidak beriman kepada Allah. BBM 3410 (Bahasa dalam Multimedia) merupakan salah satu subjek yang menyeronokkan bagi saya kerana subjek ini bersifat teori dan praktikal disamping diadakan juga kelas amali. Saya meminati subjek ini bukan bermakna ianya semata-mata subjek wajib, tapi hakikatnya, saya melihat subjek ini dalam konteks yang lebih luas rentetan perkembangan pesat teknologi maklumat dan ICT (Information and Communication Technology). Jika kita belajar bahasa sahaja tanpa menghiraukan perkembangan teknologi maka bahasa yang kita pelajari tidak dapat disebarkan secara meluas. Sewajarnya bahasa bergerak seiring dengan teknologi maklumat bagi membolehkan perkembangan bahasa kita dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa utama dunia. Teknologi juga tidak dapat berfungsi tanpa bahasa kerana bahasa sebagai wadah penyampai bagi membolehkan teknologi digunakan. Walau bagaimanapun, berbalik kepada subjek BBM3410 tadi, saya agak terkilan kerana kursus ini diwajibkan pada semester akhir. Sepatutnya kursus ini diwajibkan dalam semester pertama ataupun pada semester 4 atau 5. Kita sedia maklum perkara ini bukan urusan pensyarah yang mengajar, berkemungkinan atas dasar penetapan oleh pihak fakulti mahupun universiti. Tetapi, saya amat mengharapkan pensyarah yang terlibat mengajar kursus ini memberikan cadangan supaya kursus ini diadakan lebih awal daripada kebiasaan. Walaupun subjek ini amat menyeronokkan, tetapi kekangan masa dan tugasan-tugasan lain begitu menghambat perjalanan kuliah. Kadang-kala tugasan yang begitu banyak di kala bebanan tugasan daripada kursus-kursus yang lain dalam semester akhir telah memberi sedikit tekanan kepada diri saya. Memang betul, pelajar mesti mempunyai daya tahan dan berupaya menggalas bebanan serta bijak menguruskan masa tapi tidak semua pelajar berpewatakan sedemikian. Jelasnya, secara jujur saya meminati subjek ini, waima saya bukanlah seorang pakar IT dan multimedia, tidak kira siapa pun pensyarahnya, yang pasti subjek ini banyak menguji kemahiran dan bakat serta ilmu kebahasaan yang saya miliki untuk dimanfaatkan dalam lapangan digital mahupun multimedia. Jadi, tidak hairanlah saya kerap menghadiri kursus ini walaupun ada ketikanya kesihatan saya tidak memuaskan tapi demi ilmu perjuangan tetap diteruskan.

Mengungkap Pengalaman

Ketika berada dalam kuliah ini, banyak pengalaman yang diperoleh. Sejarah bermula dengan tertubuhnya satu kumpulan yang diberi nama “single is better”. Pengalaman bekerja dalam satu pasukan merupakan satu perkara yang penting dan perlu dipupuk. Bukan mudah untuk bekerjasama jika dalam kumpulan tidak ada toleransi. Walau apapun dengan dorongan dan nasihat DR. Kumpulan kami terus bertahan hingga ke penghabisan kuliah. Melaksanakan kerja bersama-sama dalam suasana tekanan menjadi suatu pengalaman manis walaupun hakikatnya agak merimaskan. Mana tidaknya, setiap tugasan yang diamanahkan terpaksa dibuat dalam keadaan tergopoh-gapah. Pertama-tama sekali, Dr Normaliza memberi peringatan tentang prosedur yang seharusnya dipatuhi oleh setiap pelajar yang mengikuti kelas beliau. Kelas Dr. istimewa sedikit daripada kelas kursus-kursus yang lain. Sebabnya, diperkenalkan undang-undang yang melanggar batas demokrasi sebagai seorang pelajar. Tapi tak mengapa, bagus juga kalau setiap pensyarah menetapkan undang-undang sendiri supaya timbul kesedaran di kalangan pelajar tentang peripentingnya menjaga disiplin dan tingkah laku. Biasala kan..pelajar yang berusia jiwa sentiasa nak memberontak dan tak suka kepada paksaan. Benarkah undang-undang mahupun peraturan itu satu bentuk paksaan secara bijaksana? Terpulanglah kepada setiap individu itu untuk menilainya. Keduanya, ketika kuliah berlangsung suasana agak hambar dan yang peliknya dalam suasana sebegitu pelajar masih boleh memberi fokus sepenuhnya terhadap setiap isi pengajaran. Mana tidaknya, kalau tak disergah pasti suasana jadi haru biru. Saya sendiri pun rasa gementar masa mula-mula masuk kelas ini, pensyarah nampak macam garang tapi hakikatnya sekadar lakonan semata-mata. Tapi risau juga, manalah tahu lakonan itu diterjemahkan dalam bentuk pembahagian markah. Kalau tidak mengikut apa yang dikehendaki dan tugasan yang diberikan tidak menepati citarasa beliau, mungkin padah yang menimpa. Satu lagi, beliau menggunakan pendekatan dengan mementingkan kerjasama kumpulan. Salah seorang ahli kumpulan yang membuat masalah akan menjejaskan markah individu yang lain dalam kumpulan tersebut. Mungkin inilah satu kaedah beliau untuk mendidik sahsiah diri kami. Walaupun pada awalnya saya rasa terpaksa dan tertekan ketika kuliah, tetapi inilah perkara pertama dan pengalaman pertama yang saya pelajari iaitu pengalaman berdepan dengan insan yang begitu tegas, pengalaman bekerja dalam tekanan, pengalaman memburu masa, pengalaman bekerja dalam satu pasukan dan yang paling penting pengalaman untuk berdepan dengan sebarang situasi dan cabaran serta kemahiran menyerap segala tekanan demi tekanan. Kendatipun begitu, di sebalik semua itu, matlamat sebenar saya mengikuti kursus ini adalah untuk mendalami pengetahuan yang berhubung kait secara langsung dengan aplikasi bahasa ke dalam multimedia dari multimedia kepada bahasa. Sepanjang mengikuti kuliah dan pembelajaran yang disampaikan oleh Dr. beberapa maklumat baharu diperolehi. Secara asasnya, Dr. memberi penerangan berkaitan lima perkara penting iaitu elemen-elemen asas grafik seperti kesesuaian, keseimbangan, warna, teks dan mudah. Selepas itu kami dikehendaki mengingat kelima-lima asas grafik ini kerana ianya akan diguna pakai sepanjang satu semester kuliah ini. Selepas pengenalan kepada asas grafik kami ditugaskan untuk mengaplikasikan asas grafik menggunakan majalah lama. Lembaran majalah dipilih mengikut kesesuaian kelima-lima asas grafik. Selain itu, pada kuliah berikutnya, kami ditugaskan pula untuk menghasilkan esei 8 muka surat yang berkisar kepada elemen multimedia. Tajuk dipilih berdasarkan undian dan kumpulan saya diamanahkan untuk menghasilkan esei yang bertajuk “Pengaruh iklan TV dalam kalangan kanak-kanak. Di waktu inilah kami ketandusan idea di samping kekangan masa yang amat terbatas. Setelah sampai pada waktu yang ditetapkan untuk menghantar kami masih belum dapat menyiapkan seperti mana peruntukan masa yang telah diberikan. Akhirnya, kumpulan kami terpaksa menagguhkan penghantaran esei tersebut dan menambah sendiri waktu kuliah pada ketika itu bertempat di latar siswa. Kumpulan kami sedaya upaya menyiapkan esei tersebut dan akhirnya pukul 3.30 pm pada hari kejadian juga, esei tersebut selamat dihantar melalui email. Hari berganti hari, minggu berganti minggu kuliah teori diteruskan dengan tajuk berkaitan “The World Wide Web” (WWW). Apa yang saya pelajari daripada kuliah yang disampaikan ialah website sebagai koleksi elektronik laman dunia yang mengandungi teks, grafik, audio dan video. Saya juga baru mengetahui bahawa website juga mempunyai pelbagai bentuk. Salah satu daripadanya yang berbentuk dinamik seperti website fakulti, website berkaitan tempahan tiket kapal terbang (www.airasia.com.my, MAS danlain-lain). Terdapat juga laman web yang biasa seperti explorer, netscape, mozilla firefox dan sebagainya. Web juga mempunyai hyperlink atau singkatannya link yang berfungsi untuk mengaitkan dengan web-web yang lain. Terdapat juga beberapa jenis laman web iaitu berkaitan berita, informasi, perniagaan atau pemasaran. Berdasarkan pengajaran yang disampaikan juga saya turut mengetahui beberapa istilah portal (laman web yang menawarkan pelbagai servis, berita (bahan yang terkini termasuk cerita dan artikel yang berkaitan isu terkini, kehidupan, kewangan, sukan dan cuaca. Jika dari aspek hiburan ianya bersifat interaktiviti dan mengikut suasana yang bersesuaian. Dari sudut perundangan pula, laman web ini mengandungi isi kandungan yang berbentuk sebab, pendapat dan idea. Selain itu kuliah ini juga memberi pemahaman kepada saya tentang takrif blog dan wiki. Blog atau weblog adalah laman web tak formal manakala wiki merupakan kolaborasi laman web yang memberi pengguna menambah, mengubah atau memadam (delete). Beza yang paling ketara antara kedua-dua laman ini ialah pengguna tidak boleh memperbetulkan apa yang terdapat dalam blog. Ketika itu juga saya dapat mengetahui takrif multimedia yang sebenar. Sebelum mengikuti kuliah ini saya hanya mengetahui bahawa multimedia berdasarkan takrifan saya sendiri iaitu pelbagai-bagai media tanpa mengambil tahu takrifan sebenar. Jelasnya, setelah mengikuti kuliah barulah saya mengerti dengan lebih mendalam bahawa takrifan multimedia ialah satu aplikasi yang menghubungkan kombinasi grafik, animasi, audio, video dalam realiti maya (kaedah yang nyata bukan khayalan). Menyentuh aspek realiti maya ini, sebenarnya terdapat beberapa cabaran yang menyukarkan peranan bahasa Melayu untuk bersaing dalam jaringan maya ini. Antara cabarannya ialah, dominasi Bahasa Inggeris sebagai bahasa universal ( umumnya ramai yang menganggap bahasa inggeris sebagai bahasa teknologi maklumat), sikap memandang rendah keupayaan bahasa Melayu, kekurangan perisian bahasa Melayu, kekurangan dan ketiadaan istilah, penghakisan rasa cinta terhadap bahasa Melayu, sikap pelabur dan pengusaha teknologi maklumat dan kelonggaran kerajaan. Pada pengakhiran kuliah ini satu soalan yang penting yang mengkhusus kepada subjek BBM3410 telah juga diajukan iaitu “Apakah kaitan bahasa di dalam multimedia? Secara ringkasnya apa yang diketahui semasa kuliah, kaitannya ialah multimedia tidak dapat difahami tanpa bahasa, memudahkan proses terjemahan literasi dan penghasilan animasi digital. Kuliah pada minggu berikutnya, saya telah belajar dan memahami tentang 6 komponen multimedia yang sangat penting yang menjadi asas binaannya iaitu teks, grafik, animasi, audio, video dan interaktiviti. Semasa kuliah pada ketika itu juga, sekali lagi kami diberi tugasan untuk membuat e-majalah. Semasa melaksanakan tugasan ini terasa juga tekanan. Lagi-lagi tekanan masa dan latar siswa jadi penerus kuliah. Nasib baiklah selepas kuliah itu tidak ada kuliah lain. Kalau tidak, mesti menjejaskan markah kumpulan. Apapun, semasa membuat e-majalah beberapa perkara telah dipelajari seperti kaedah-kaedah dan prosedur yang perlu untuk menghasilkannya. Bermula dengan lakaran dan penghasilan papan cerita sehinggalah pengaplikasiannya dalam teknologi maklumat. Walau bagaimanapun, hanya lakaran di atas kertas A3 yang dilipat dua sebagai model e-majalah yang sempat dihasilkan pada ketika itu. Seterusnya, kuliah pada minggu berikutnya berlangsung seperti biasa dengan penekanan aspek teori mengenai sejarah teknologi maklumat dan multimedia. Dalam pengajaran teori, Dr. mengajar secara langsung menggunakan tayangan slaid yang penuh dengan gambar. Peyampaian agak jelas pasal semua pelajar memberi tumpuan dan sepenuhnya pasal Dr. pantang kalau ada pelajarnya membuat bising ataupun bercakap semasa pengajaran beliau. Bunyi technical pen pun tidak boleh. Begitulah tegasnya pendirian beliau dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan ilmu pengetahuan. Pada awalnya, Dr. telah membuka minda kami dengan takrifan IT (Information Technology) dan hubung kait dengan teknologi-teknologi yang lain seperti TV, telefon bimbit, radio dan sebagainya. Gambaran kuliah pada ketika itu seperti yang dapat dirakamkan pada visual di bawah ini :

Uniknya sepanjang berada dalam kuliah ini satu situasi yang berbeda sekali dengan kuliah-kuliah yang lain. Kaedah mengambil nota agak menarik kerana kami dibenarkan untuk mengambil gambar pada layar yang terpapar nota-nota penting untuk difahami. Syarahan Dr. agak pantas dan jika pelajar hanya bergantung kepada catatan di atas kertas dijamin tidak sempat menyalin malah maklumat pun hanya dapat sedikit sahaja. Selepas kuliah ini, diberi lagi tugasan yang mana setiap kumpulan dikehendaki membuat persembahan power point. Kami diarahkan membuat persembahan power point sekitar 7 minit dengan paparan 20 slide. Setiap slide hendaklah mengandungi gambar yang disesuaikan dengan peribahasa atau simpulan bahasa. Menggunakan kamera digital sebagai instrument utama, kumpulan kami telah mengambil gambar dibeberapa lokasi dengan possing yang bersesuaian dengan peribahasa yang dipilih. Semasa mengambil gambar keadaan diri saya dan rakan-rakan agak memenatkan disebabkan cuaca di luar bilik kuliah agak panas serta masing-masing nampak keletihan. Walau apapun, akhirnya tugasan ini berjaya juga disiapkan dan tayangan slide dapat dipertontonkan semasa kuliah pada minggu berikutnya. Setelah berakhirnya tugasan ini, rasa kepenatan yang dahulunya telah bertukar menjadi kepuasan. Kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar pada setiap wajah ahli kumpulan kami. Hakikatnya, susah senang dapat sama dirasa apabila kita bekerjasama dalam satu pasukan. Minda kami juga diuji dengan beberapa soalan sepanjang kuliah teori. Dr. Melaksanakan aktiviti ini untuk menguji tahap pemahaman kami terhadap kuliah yang telah disampaikan. Markah diberi serta-merta apabila wakil dalam setiap kumpulan berjaya menjawab dengan cepat, tepat dan mantap. Apa yang menarik pada ketika itu ialah saya dapat melihat reaksi diri saya dan rakan-rakan saya apabila diajukan soalan secara spontan. Bagi mereka yang memberikan tumpuan sepenuhnya sudah pasti tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjawab soalan yang diajukan tetapi jika sebaliknya pasti individu itu terkial-kial untuk mencari jawapan dan akan memberi peluang kepada wakil dari kumpulan lain untuk mendapatkan markah. Hasil daripada sesi soal jawab sebegini, saya mendapat satu pengalaman mahupun pengajaran yang amat berguna sekali iaitu, kita hendaklah mensiapsiagakan diri dari semua aspek sama ada mental, fizikal mahupun emosi. Di samping itu, kita kena banyak membaca, memberi tumpuan sepanjang pengajaran serta bijak menerima dan menjawab setiap soalan yang diajukan secara spontan. Walaupun kursus ini lebih mengkhusus kepada aspek bahasa dan multimedia, tetapi Dr. mengambil pendekatan yang lebih kreatif mengaitkan kursus ini dengan khidmat bakti kepada masyarakat. Jika dinilai secara sempit memang kursus ini tiada kaitan langsung dengan khidmat masyarakat tetapi jika kita membuka minda kita dengan menyatakan bahasa dan multimedia dapat mentranformasikan masyarakat dan berperanan sebagai wadah yang boleh membantu masyarakat maka tidak mustahil ianya dapat membantu dengan syarat kita bijak mengguna pakai teknologi yang sedia ada ini. Bagi kursus ini, kami telah ditugaskan untuk menjalankan khidmat bakti di rumah anak-anak yatim di sekitar Selangor dan Lembah Kelang. Tugasan ini merupakan kemuncak yang paling bermakna sepanjang saya mengikuti kuliah ini. Bagi saya, proses pembelajaran sebegini, memberi peluang kepada saya untuk menabur bakti kepada anak-anak yatim. Ketika itulah kali pertama saya beramah mesra seterusnya memberi khidmat kepada anak-anak yatim. Sebelum memulakan tugasan ini kami dikehendaki menetapkan rumah anak yatim yang hendak dituju. Tugasan ini telah melibatkan gabungan dua kumpulan. Kumpulan kami (single is better dan kumpulan EMPAT) telah merancang kunjungan khidmat bakti ke asrama anak-anak yatim Sekendi, Sabak Bernam. Persiapan rapi ketika itu telah dilakukan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Dr. setelah membuat perbincangan dan taklimat kumpulan. Apa yang saya perhatikan, semua ahli dalam kedua-dua kumpulan telah memberi kerjasama dan komitmen untuk melaksanakan tugasan ini. Itu merupakan petanda yang positif dan bahawasanya setiap apa yang kita lakukan memerlukan perancangan yang teliti di samping peranan semua pihak. Akan tetapi, kami agak terkilan sedikit apabila kertas kerja yang kami hantar tidak diluluskan oleh pihak atasan fakulti. Mungkin disebabkan oleh beberapa faktor di luar bidang kuasa mereka. Wallahualam. Apapun, tugasan kami mendapat restu Dr. untuk dilaksanakan walaupun pada dasarnya ia memerlukan sokongan pihak atasan. Hal begitu memang biasa berlaku dan kami dapat pengajaran daripada situasi seumpama itu. Kendatipun begitu, hasrat untuk menabur bakti tetap membara dalam jiwa kami. Kami nekad untuk melaksanakannya waima berdepan dengan cabaran sekalipun. Kata orang Perkara baik ni tak elok ditangguh-tangguh...redah aje...(sekadar gurauan). Misi diteruskan sesampainya di Asrama Anak-anak Yatim Sekendi. Keadaan pagi itu agak suram sebab adik-adik ada yang belum mandi lagi. Begitulah sedikit gambaran awal masa mula-mula sampai. Keadaan riuh-rendah mula kedengaran apabila kami mengadakan beberapa aktiviti bagi menghiburkan hati mereka. Kedatangan kami ke sana tidak sia-sia kerana jelas terpapar keceriaan di wajah mereka. Dalam kegembiraan itu, hati saya mulai sayu mengenangkan nasib mereka. Walaupun tanpa ibu dan ayah tapi kedatangan kami sedikit sebanyak membantu menggembirakan hati mereka walaupun sekadar bantuan dari segi motivasi dan bimbingan itu sudah memadai mendamaikan jiwa mereka. Kami juga mengadakan beberapa aktiviti seperti permainan bahasa (gayakan bahasamu), sesi ta’aruf dan bimbingan, gotong-royong (clean&clear) di sekitar asrama tersebut. Pada sebelah petangnya iaitu pada sesi terakhir kami telah memberi sumbangan berupa wang ringgit dan cenderamata kenang-kenangan kepada Pengurus Asrama Anak Yatim tersebut. Pengalaman melaksanakan amal kebajikan ini merupakan sesuatu yang teramat indah dalam hidup saya. Walaupun masih bergelar pelajar, berkat usaha, doa dan dorongan semua pihak tugasan ini berjaya dilaksanakan. Tamat sahaja khidmat bakti di Asrama tersebut, kami perlu menyediakan satu persembahan multimedia untuk mengungkap kenangan semasa menjalankan tugasan tersebut. Masa yang diperuntukkan untuk persembahan multimedia adalah sekitar 7 minit. Bukan mudah untuk menghasilkan persembahan multimedia yang menarik. Ianya memerlukan kepakaran dan perlu memasukkan elemen-elemen seperti visual, audio, teks dan lain-lain lagi unsur yang boleh menarik perhatian penonton. Persembahan multimedia itu kemudiannya dinilai oleh Dr. Normaliza dan dibantu oleh dua orang tutor.

Kuliah berikutnya, dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Arbaie Sujud. Beliau memberi tunjuk ajar dalam penghasilan papan cerita dan menurut beliau lagi tidak ada format khusus dalam pembinaan papan cerita. Setelah penerangan diberikan semasa kuliah, kami telah diberi tugasan untuk menghasilkan papan cerita berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan. Agak malang bagi kami setelah menghasilkan papan cerita tersebut. Daripada semakan yang telah dibuat terhadap papan cerita yang dihasilkan, ternyata kebanyakan pelajar masih tidak memahami konsep papan cerita berdasarkan tajuk yang diberi. Beliau kesal dengan tugasan yang telah kami hasilkan. Walau bagaimanapun, ianya memberi pengajaran berguna dan sebagai permulaan kepada kami untuk memahami pembinaan papan cerita yang menarik dan mendalami pengetahuan mengenainya. Apa yang dapat saya fahami daripada pengajaran beliau ialah berkaitan konsep, tujuan dan prosedur dalam penghasilan papan cerita. Babak-babak akhir kuliah ini (pada minggu ke-13) aktiviti terakhir yang kami lakukan semasa kuliah ialah mencari 20 perkataan yang berkaitan sepanjang satu semester berada dalam kuliah tersebut dan membuat origami. Pada peringkat akhir aktiviti ini kumpulan kami “single is better” berjaya mencari 17 daripada 20 perkataan menewaskan pencabar-pencabar dari kumpulan lain manakala semasa membuat origami kami akur dengan keupayaan kumpulan lain. Moralnya, kami berasa seronok kerana wujud persaingan yang sihat dalam kedua-dua aktiviti terakhir ini. Kegagalan kami membentuk origami membuktikan bahawa tidak semua perkara kita mampu buat dan ada kalanya kita memerlukan bantuan orang lain dan kemahiran mendengar arahan serta mengikuti setiap langkah-langkah yang diberikan merupakan jalan bagi kita untuk merealisasikan sesuatu yang kita inginkan. Begitulah rentetan peristiwa suka duka yang berlaku semasa kuliah BBM 3410 bersama DR. Normaliza.

Kelas Amali

Berlainan pula halnya dengan kelas Amali. Keseluruhannya bersifat praktikal. Kelas amali ini agak seronok kerana kami melaksanakannya di makmal komputer. Kelas amali kami diadakan pada setiap khamis jam 8-10 malam. Tenaga pengajar pastinya Cik Alia. Kelas amali ini tidak boleh dipandang ringan kerana bersifat individu dan di dalamnya terkandung pelbagai tugasan dengan peruntukan markah sebanyak 30%. Saya mengikuti kelas amali ini bukan kerana ingin mendapatkan markah semata-mata tapi yang lebih penting kemahiran (skills) yang perlu dikuasai. Beberapa tugasan yang ditetapkan sepanjang tempoh amali telah memberi input, kemahiran dan pengalaman yang amat berguna kepada saya. Terdapat 4 tugasan utama yang perlu disiapkan sepanjang tempoh amali tersebut seperti membut persembahan power point, menghasilkan kalender, merekabentuk website dan penghasilan blog. Bagi yang kurang pengetahuan berkenaan komputer seperti saya, agak sukar untuk menyiapkan tugasan ini dengan cepat. Akan tetapi atas tunjuk ajar dan sokongan cik Alia, saya cuba untuk menghasilkan beberapa tugasan mengikut masa yang telah diperuntukkan dan akhirnya tugasan tersebut telah disiapkan dengan sempurna. Mengimbau kembali seketika berada dalam kelas amali, saya dapat rasakan satu pengalaman dan kenangan yang menyeronokkan walaupun pada peringkat awalnya hati saya bercampur baur kerana bimbang tidak mampu melaksanakan tugasan yang diberikan. Namun, kebimbangan itu cuma seketika apabila tercetusnya semangat ingin mencuba. Bermulanya saya dengan sedikit pengetahuan komputer ditambah dengan tunjuk ajar oleh cik Alia, saya mula membiasakan diri menggunakan perisian adobe photoshop, dan prosedur-prosedur yang diberi untuk mereka bentuk website dan menghasilkan blog maka sesuatu yang pada awalnya saya anggap susah akhirnya menjadi mudah. Lagi-lagi kalau kita tidak mahu belajar dan ingin tahu terhadap sesuatu perkara, sudah pasti kita akan ketinggalan. Setelah mengikuti kelas amali ini, timbul kesedaran dalam diri saya betapa pentingnya kita mengetahui tentang teknologi dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita. Di samping kepentingannya, pengetahuan tentang komputer khususnya perisian multimedia dapat memberi kepuasan dan memudahkan urusan seharian kita. Saya juga yakin, pengetahuan yang saya perolehi melalui kelas amali ini juga dapat membantu saya menyebarkan maklumat kebahasaan contohnya menerusi catatan mahupun coretan pada laman blog yang telah dihasilkan. Dengan ilmu teknologi ini sedikit sebanyak ianya membantu dalam menyebarluaskan bahasa kita.

Membuai Perasaan

Secara peribadi, saya merasakan amat tertekan dan perasaan bercampur-baur semasa mula-mula mengikuti kuliah ini. Belum pernah sebelum ini saya rasakan keadaan tertekan dan amat berbeda semasa berada dalam kuliah-kuliah lain yang pernah saya ikuti. Mana tidaknya, pelbagai arahan demi arahan yang agak tegas dikeluarkan sehinggakan ada ketikanya saya berpandangan negatif terhadap kuliah ini. Namun, lama-kelamaan saya cuba untuk membiasakan diri dengan situasi demikian. Saya cuba belajar untuk menyerap segala tekanan. Saya muhasabah diri dan akhirnya saya perhalusi nurani saya dan belajar bersabar dengan situasi yang berada diluar kebiasaan itu. Mungkin ada hikmahnya, didikan sedemikian. Kadang kala sebagai manusia lebih-lebih lagi sebagai pelajar seharusnya kita bersedia dengan sebarang kemungkinan yang tidak diduga. Kita perlu faham setiap orang ada caranya dan kita perlu menghormati cara mereka. Akhirnya, saya akui dan menerima hakikat bahawa ketegasan, disiplin dan sahsiah yang baik mendorong kita menjadi insan yang tabah dan cekal.

Kalimat sebagai pengakhir wacana

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Normaliza dan Cik Alia atas bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang kuliah dan amali ini. Semoga terus maju jaya dalam perjuangan.... Maaf dipohon andai terkasar budi bicara. Halalkan segala ilmu yang telah diajarkan...doakanlah kejayaanku dalam kehidupan...wassalam...

BBM 3410
dalam
Kenangan...

No comments:

Post a Comment